Saturday, October 2, 2010

PIPP

PELAN Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang akan dijadikan garis panduan pembangunan pendidikan negara secara menyeluruh bagi tempoh lima tahun untuk membangunkan sekolah kebangsaan (SK) sebagai aliran perdana tanpa meminggirkan sekolah aliran lain.

Bagi menghasilkan pendidikan berkualiti untuk semua, Kementerian Pelajaran (KPM) telah mengenalpasti dua pendekatan utama iaitu memastikan rakyat mendapat peluang pendidikan yang adil dan saksama sekali gus menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

Pendekatan kedua pula ialah memberi perhatian khusus ke atas sekolah yang mencapai tahap cemerlang, bukan sahaja bagi memastikan ia mempertahankan kecemerlangan itu malah mampu meningkatkannya ke tahap yang lebih tinggi.

Sesuai dengan hasrat itu, KPM telah mengenalpasti enam teras strategik bagi memperkukuhkan pendidikan negara dalam tempoh lima tahun sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Teras pertama yang akan dilaksanakan adalah membina negara bangsa melalui pendidikan bertujuan melahirkan warganegara dari awal persekolahan dengan ciri-ciri glokal, patriotik dan cintakan negara serta menjunjung warisan budaya dan kesenian bangsa.

Hasrat berkenaan akan dicapai dengan memperkasakan bahasa Melayu, meningkatkan disiplin pelajar, menggiatkan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) dan menggiatkan aktiviti kokurikulum dalam sukan.

Pembangunan modal insan merupakan teras kedua di bawah PIPP yang akan memberi tumpuan kepada sistem nilai, aspek disiplin, sahsiah, akhlak dan jati diri pelajar bagi melahirkan tenaga kerja yang kompeten dalam sains dan teknologi, inovatif, kreatif serta boleh dipasarkan.

Teras ketiga ialah memperkasakan sekolah kebangsaan (rendah dan menengah) agar sekolah-sekolah itu menjadi pilihan rakyat.

Selaras dengan usaha itu, KPM akan melengkapkan SK dengan kemudahan pendidikan yang mencukupi, berkualiti, terkini dan guru terlatih mengikut opsyen serta bilangan staf sokongan mengikut keperluan.

Seterusnya, sebagai teras keempat, KPM akan berusaha merapatkan jurang pendidikan dengan membangunkan infrastruktur dan kemudahan khususnya diluar bandar seperti Sabah dan Sarawak.

Di bawah teras keempat itu juga, KPM akan memperbanyakkan bantuan kepada pelajar miskin, keperluan khas, kumpulan minoriti, mengurangkan jurang digital serta menempatkan guru terlatih.

Teras kelima ialah memartabatkan profesion keguruan bagi memastikan profesion itu dihormati dan dipandang tinggi sesuai dengan amanah yang dipertanggungjawabkan dalam pembinaan generasi masa depan.

Sebahagian daripada usaha itu ialah menaik taraf maktab perguruan kepada institut pendidikan guru bagi meningkatkan kelayakan guru ke peringkat ijazah.

Manakala teras terakhir di bawah PIPP ialah melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan dengan membentuk bahagian kecemerlangan sekolah berasaskan akademik, kokurikulum dan sukan atau bidang-bidang khusus yang lain.

Sekolah yang terpilih akan dirangkaikan dengan institusi ternama tempatan dan luar negara dengan menawarkan pelbagai peperiksaan peringkat antarabangsa seperti International Baccalaureate serta dijadikan sekolah contoh.

PIPP yang dirangka KPM turut mengambil kira jurang dan cabaran yang perlu ditangani bagi memastikan Wawasan 2020 dapat dicapai.

Selaras dengan itu, KPM berhasrat membangunkan modal insan dengan ciri masyarakat bangsa Malaysia, memastikan akses, ekuiti dan kualiti tunjang agenda pendidikan diteruskan serta merintis dan menerajui perubahan bagi melonjak sistem dan institusi pendidikan ke tahap dunia.

NKRA

NKRA Kementerian Pelajaran Malaysia

Di bawah NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Nasional) KPM tersebut difokuskan kepada 4 sub-NKRA iaitu:


1. Prasekolah - dimana peningkatan 20% penyertaan kanak-kanak 5 tahun ke atas ke pendidikan prasekolah dengan menjadikan pendidikan prasekolah sebagai aliran perdana dalam sistem pendidikan kebangsaan pada tahun 2012.

2. Literasi dan Numerasi - di mana semua kanak-kanak yang tidak mempunyai masalah pembelajaran boleh menguasai kemahiran literasi dan numerasi sebelum melangkah ke tahun 4 pada tahun 2012.

3. Sekolah Berprestasi Tinggi - di mana usaha KPM membangunkan 100 buah ' high performance schools ' termasuk 'trust schools' pada akhir tahun 2012.

4. Pengetua/Guru Besar - di mana bai'ah atau akujanji kepada Pengetua/Guru Besar berdasarkan 'performance based assessment' mulai tahun 2010.


Key Performance Indicator (KPI) atau Bidang Pengukuran Prestasi bagi KPPM telah ditetapkan berdasarkan kepada beberapa kpi :

1. Nisbah Guru:Murid mengikut sasaran tahun semasa ( Sekolah Menengah 1:17, Sekolah Rendah 1:16)

2. Penurunan kes disiplin sekolah sebanyak 0.02% setahun bagi semua jenis sekolah rendah dan sekolah menengah seluruh negara.

3. Peratus peningkatan sebanyak 1.0 % setahun bagi kadar pencapaian murid dalam Kelas Intervensi Awal (KIA2M).

4. Pencapaian pelajar berdasarkan Gred Purata Nasional pada peringkat UPSR (GPN=3.00), PMR (GPN=3.50), dan SPM (GPN = 6.00).

5. Peningkatan 2 % Guru Ijazah Terlatih di sekolah rendah dan 1 % di sekolah menengah.

6. Penurunan peratus jurang pencapaian pelajar bandar dan luar bandar (UPSR - 0.3%, PMR - 0.3%, dan SPM - 0.2%)