Guru Pembina Negara Bangsa
Awal bulan lalu satu artikel di dalam akhbar telah mengenengahkan Encik Vincent Fernandez, salah seorang bekas guru saya. Di dalam artikel tersebut, beliau telah memberikan satu laporan yang boleh saya sifatkan sebagai kad laporan kecemerlangan waktu persekolahan saya sebagai seorang murid sekolah menengah di Saint John Institution, Kuala Lumpur. Saya sangat berbesar hati kerana beliau mengingati saya sebagai seorang murid yang baik, memandangkan sebagai budak lelaki, saya juga terlibat dengan kenakalan pada waktu persekolahan.
Pada saya guru adalah antara wira yang paling terabai di dalam negara kita, hinggakan adakalanya di tempatkan di kawasan perkampungan yang jauh di pedalaman negara. Mereka ini menghabiskan sebahagian besar daripada kehidupan mereka mengasuh dan membentuk anak-anak orang lain menjadi bakal modal insan yang akan mendorong pertumbuhan negara tercinta ini. Sering kali pula tanggungjawab mereka memerlukan pengorbanan peribadi yang kadang kala tidak diendahkan dan dihargai oleh mereka yang menerima khidmat bakti mereka.
Setahun sekali, kita meraikan pengorbanan dan sumbangan mereka, namun sebenarnya kita juga mesti mengingati dan menghargai mereka setiap hari. Sebagai ibu dan bapa, kita semua mahukan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak kita dan berharap mereka akan berkembang menjadi ahli masyarakat yang berguna.
Guru bukan hanya semata-mata bertujuan untuk mengajar kita membuat kira-kira tolak atau campur, atau untuk membaca dan menulis dalam pelbagai bahasa, atau pun untuk menghafal tarikh-tarikh penting dalam sejarah kita. Kehadiran mereka adalah untuk mendidik kita bagaimana untuk menjadi kreatif, menjelaskan pandangan diri kita dengan baik dan memahami peranan dan potensi diri kita di dalam masyarakat.
Maka hari ini, saya mengajak anda semua untuk sama-sama menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada golongan pendidik di Malaysia yang telah mencurahkan jiwa dan raga mereka untuk membina pemikiran setiap generasi Malaysia, dan berharap golongan yang dihormati ini akan terus berkhidmat dengan dedikasi untuk generasi-generasi yang akan datang.
Selamat Hari Guru!
Guru Pembina Negara Bangsa..
No comments:
Post a Comment