SONGKET
Sejarah
Kain Songket adalah hasil daripada tenunan benang sutera atau kapas yang ditenun bersama-sama dengan benang emas atau perak. Ia telah terkenal di Malaysia sejak abad ke 15 yang lampau. Perkataan songket berasal daripada perkataan sungkit iaitu teknik menyungkit. Industri tenunan songket ini telah berkembang pesat terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur seperti di Terengganu dan Kelantan. Bunga atau hiasan di kepala kain di tenun mengikut citarasa penenun. Corak atau ragam hias tersebut dikenali dengan nama-nama seperti tapak manggis, pucuk rebung, lawi ayam dan sebagainya.
Tenunan songket ini dilakukan sebagai industri kecil, yang mana kemahiran seseorang penenun itu mengambil masa selama enam minggu untuk menghasilkan sehelai kain songket yang panjangnya di antara 20 hingga 40 meter. Sesuatu yang mengkagumkan tentang seseorang penenun mahir ialah, dia tidak melakar corak songket di atas kertas sebelum kerja-kerja menenun dilakukan sebaliknya ia tercetus daripada daya kreativiti dan imaginasi yang tinggi lagi unik.
Motif
Motif yang digunakan untuk menenun songket diilhamkan daripada alam semulajadi. Antara motif-motif songket:
Motif Tumbuh-tumbuhan
Motif Binatang
Motif Alam/Benda
Motif Kuih
Corak
Corak kain songket lazimnya terdiri dari:
Susunan bunga penuh
Susunan bunga bertabur
Susunan bercorak
Proses Pembuatan
Secara ringkasnya proses menenun songket adalah dengan menggunakan teknik menyungkit iaitu menggunakan lidi buluh atau bilah nibung melalui benang loseng (warp) di permukaan alat tenun yang dipanggil �kek tenun�. Proses menyungkit dilakukan setelah benang �karat butang� disediakan. Benang karat butang digunakan untuk membuat reka corak atau sulaman benang emas.
Mencelup benang
Benang perlu dibersihkan sebelum dicelup ke dalam pewarna. Setelah pewarnaan dibuat benang perlu di keringkan, sebelum kerja selanjutnya dilaksanakan.
Melerai benang
Pelenting yang diperbuat daripada buluh kecil digunakan untuk melilit benang. Proses ini dilakukan dengan bantuan alat darwin dan alat pemutar rahat.
Menganeng benang
Proses membuat benang loseng yang diregang di alat penenun bagi menentukan saiz panjang atau jumlah helai kain yang akan ditenun.
Menggulung
Benang-benang yang diregang di alat menganeng (ianian) digulung dengan sekeping papan loseng.
Menyapuk benang
Setelah benang loseng dimasukkan ke dalam gigi atau sikat jentera, kerja-kerja menyapuk dilakukan. Dua urat benang loseng dikaitkan melalui setiap celah gigi jentera.
Mengarak benang
Karak dibuat daripada benang asing yang digelung. Benang loseng berangka genap dan ganjil akan diangkat turun naik secara berselang seli sewaktu menenun.
Menyongket benang
Proses mereka corak di atas benang loseng dengan menggunakan alat yang di panggil lidi dengan menyongketkan benang loseng sebanyak tiga atau lima lembar dan kemudian diikat dan dikenali sebagai proses ikat butang.
Menenun
Alat torak yang diisi dengan benang pakan atau benang emas, dimasukkan ke kiri dan kanan di celah-celah benang loseng mengikut corak yang telah ditentukan hinggalah menjadi sekeping kain. Kain yang telah siap ini dipotong mengikut saiz.
Penggunaan
Pada zaman dahulu songket melambangkan kebesaran. Raja-raja dan pembesar-pembesar istana sahaja yang bekemampuan memakainya. Kegunaannya adalah untuk membuat tanjak, samping, kain selendang dan persalinan diraja. Tetapi di zaman moden songket digunakan untuk pakaian pengantin, perhiasan dinding, beg tangan, alas meja, barang-barang cenderamata dan sebagainya mengikut keupayaan pengusaha untuk mempelbagaikannya.
Setelah sekian lama perusahaan songket berkembang di Malaysia maka kini corak songket mendapat tempat di hati para arkitek. Terdapat beberapa bangunan pencakar langit telah diterapkan dengan corak songket seperti bangunan Perpustakaan Negara Malaysia.
No comments:
Post a Comment