Saturday, January 22, 2011

Bidang Seni Kraf - Tembaga

Tembaga

Pengenalan

Di Semenanjung Malaysia penggunaan bahan logam dalam keperluan hidup manusia telah bermula sejak zaman purba lagi. Kepandaian menggunakan bahan logam di zaman purba adalah sesuatu yang sangat menarik kerana logam adalah bahan yang tidak boleh dipecah-pecahkan untuk menghasilkan sesuatu alat seperti alat-alat yang diperbuat daripada batu. Penggunaan alat-alat daripada logam yang berukir berterusan hingga kini. Orang-orang Melayu juga banyak sekali menghasilkan beraneka jenis alat yang diperbuat daripada logam. Seni ukiran pada alat-alat logam yang dihasilkan oleh tukang-tukang Melayu dapat kita lihat pada senjata-senjata tradisional, peralatan rumah, perhiasan diri serta barangan-barangan lain. Maklumat berkaitan seni ukiran logam daripada perak dan tembaga akan dipaparkan menerusi bidang ini.

Ukiran Tembaga

http://malaysiana.pnm.my/04/Seni%20Halus/Ukiran%20Logam/ukiranlogam1.jpg

Ukiran tembaga

Logam tembaga ditemui manusia kira-kira 8000 tahun sebelum Masehi. Sekitar 4500 kemudian, manusia menemui teknik untuk mencampurkan tembaga dengan timah. Campurai atau aloi dua logam itu dikenali sebagai gangsa. Di Greece, Zaman Gangsa bermula sebelum 3000 SM dan di China, sekitar 1800 SM. Kemahiran kerja logam dipercayai diketahui di Asia Tenggara sejak lama sebelum era Masihi lagi. Ekskavasi arkeologi di Phumi Mlu Prey, Kemboja telah menemui kesan-kesan kerja pengacuan gangsa dan besi yang diusahakan sebelum abad pertama Masihi. Artifak gangsa juga telah diperolehi daripada ekskavasi yang dijalankan di tapak tamadun Dong Son, Vietnam yang wujud antara abad kelima dan abad pertama SM. Di Malaysia, artifak gangsa yang tertua ialah genta (loceng) yang ditemui di daerah Klang yang banyak mempunyai persamaan ciri dengan genta gangsa Dong Son. Artifak tembaga yang tertua pula ialah gong yang ditemui di Terengganu. Perusahaan tembaga di negara ini kebanyakannya berpusat di pantai timur Semenanjung iaitu di Kelantan dan Terengganu. Tukang-tukang tembaga yang mahir dikenali sebagai 'pandai tembaga'.

Proses Pembuatan

Di samping warnanya yang lebih menarik, tembaga cair pada suhu yang lebih rendah berbanding besi, iaitu kira-kira 1000 darjah celcius. Ini menjadikan tembaga lebih mudah dibentuk. Kraftangan tembaga di Malaysia dihasilkan melalui dua kaedah utama iaitu acuan penghapusan lilin dan goresan timbul.

Acuan Penghapusan Lilin. Teknik ini boleh dibahagikan kepada empat langkah;

Pembentukan - proses membentuk kayu untuk dijadikan asas acuan dan merangka bentuk dan corak barang yang akan dihasilkan.

Membuat Acuan - Proses membuat kelonsong atau teras bentuk barang yang diingini. Acuan dicelup ke dalam lilin berulang kali mengikut ketebalan yang dikehendaki. Kemudian lilin dilarik supaya seimbang dan sama rata, sesuai dengan bentuk luar barang itu. Lilin yang telah siap dilarik, ditampalkan dengan tiga lapisan tanah liat halus.

Lebur/Menuang - Proses mencairkan campuran logam dan memasukkannya ke dalam acuan. Tembaga dileburkan di dalam bekas khusus menggunakan api dapur yang dipanggil relau. Api relau juga digunakan untuk mencairkan lilin di dalam tanah liat halus. Lilin cair itu dituang keluar, meninggalkan rongga yang membentuk acuan. Dalam satu variasi teknik ini, lilin acuan dibalut dengan campuran tanah liat, pasir dan sekam padi. Apabila acuan dibakar , lilin mencair dan menyerap ke dalam campuran pembalut itu. Cairan tembaga lebur dituangkan ke dalam acuan itu dan ditinggalkan hingga sejuk dan membeku. Kemudian, tanah liat yang dijadikan acuan itu dipecahkan untuk mendapatkan barangan tembaga yang masih kasar permukaannya.

Mencuci/menggilap - Proses ini melibatkan kerja-kerja pengemasan yang merangkumi mencuci, memateri,mengikis dan menggilap. Tompok-tompk hitam dan logam yang berlebihan pada barang yang dikeluarkan dari acuan, dikikis hingga bersih. Ciri-ciri yang tidak dapat dibentuk di dalam acuan, dipaterikan. Kemudian barang itu digosok dengan kertas pasir dan digilap dengan sejenis kimia yang memberikan kemasan halus dan berseri.

No comments:

Post a Comment